Pergolakan keluarga dalam Asy Syura
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com
2010/04/09
Karya Johan Jaafar yang pernah menjadi drama televisyen diangkat dalam bentuk teater
NASKHAH teater milik Datuk Johan Jaaffar ini pernah diangkat menjadi sebuah drama televisyen sekitar 30 tahun lalu. Mungkin disebabkan temanya yang ada kaitan dengan masyarakat hari ini, maka banyak kali juga teater ini dipentaskan oleh beberapa pertubuhan yang bergiat cergas dengan cabang seni ini. Membawa kisah yang masih wujud sehingga kini iaitu pergolakan adik beradik kerana berebutkan harta pusaka, naskhah popular ini terus menjadi pilihan pelajar semester akhir Program Diploma Seni Lakon, Program Pengurusan Seni Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila ia akan menjadi projek penilaian akhir pelajar terbabit. Pengarah teater berkenaan, Aminah Rhapor berkata, teater Asy Syura ini dipilih kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menguji setiap pelakonnya.
“Teater ini sudah dipentaskan banyak kali, malah ia juga pernah dijadikan sebuah drama di televisyen sekitar tahun 1970-an. Tidak dapat dinafikan teater ini mempunyai kekuatan dari sudut penceritaan dan mesej yang berguna. Sebagai sebuah teater yang mengetengahkan isu kemasyarakatan dan kekeluargaan, pastinya ia memerlukan mainan emosi.
“Justeru ia amat sesuai untuk diangkat sebagai projek penilaian akhir pelajar Diploma Seni Lakon ini. Sebagai pengarah, saya hanya memberikan mereka garis panduan. Seterusnya ia terletak kepada kreativiti pelajar terbabit dan bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang mereka pelajari sebelum ini,” kata Aminah pada majlis sidang media teater berkenaan di Dewan Banquet, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Program Teater serta Pengarah Artistik, Hafshizan Hashim. Memandangkan skrip teater ini sudah cukup sempurna pada pengamatannya, Aminah berkata tiada sebarang perubahan akan dilakukan terhadap naskhah terbabit.
“Bagaimanapun akan ada adlib bagi menyambung satu babak ke satu babak yang lain. Dari segi keseluruhan, teater ini kekal seperti yang sedia ada. Saya masih menjaga keasliannya,” ujarnya.
Pada sidang media itu, tetamu yang hadir turut dipertontonkan beberapa babak dalam teater itu. Diakui, walaupun sekadar pelajar, namun kebanyakan mereka begitu berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelakon pada masa akan datang. Bukan saja hebat di atas pentas, malah ada juga yang berbakat dalam penciptaan lagu. Buktinya, lagu tema teater itu berjudul Asy Syura dicipta sendiri oleh salah seorang pelakonnya.
“Memang kami menggalakkan pelajar untuk menguruskan keseluruhan perjalanan teater ini sepenuhnya. Bagi yang mengambil jurusan seni lakon, mereka akan terbabit sebagai pelakon. Untuk yang berada di belakang tabir, mereka akan buat kerja-kerja pengurusan seperti promosi dan sebagainya,” katanya yang pernah mengarah drama televisyen seperti Romeo & Juliet serta Salam Taj Mahal.
Terbaru dia juga terbabit dalam pembikinan filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie lakonan Nabil dan Mila.
Sinopsis Asy syura
Naskhah Asy syura ini diambil berdasarkan Surah Asy-Syura, yang berkisar kepada perbalahan adik beradik dalam sebuah keluarga yang sering bercanggah pendapat dalam menguruskan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka. Ada yang benar-benar mahukan tanah pusaka tersebut untuk dijual, ada yang mahu tanah pusaka tersebut dibahagi-bahagikan agar masing-masing mendapat bahagiannya dan ada yang tidak mahu ambil peduli langsung mengenai tanah pusaka tersebut.
Pergolakan semakin kusut apabila abang sulung mereka, Mid, yang hakikatnya seorang lelaki yang sempurna dengan didikan agama yang tinggi namun sikapnya yang gemar berjudi, tamak, dan keras hati menyebabkan dia dimusuhi oleh orang di sekelilingnya. ’Kebisuan’ Jarah, isteri kepada Mid lantaran perbuatan suaminya itu dipendam dan tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Hal ini berlanjutan sehinggalah Inah menemui ajalnya. Setelah apa yang berlaku di hadapannya, Mid mula sedar atas semua yang telah berlaku dek angkaranya sendiri.
Info
Teater ini akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka, Menara DBP selama tiga hari, bermula hari ini jam jam 8.30 malam. Pada hari Sabtu, pementasan dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada jam 3 petang dan 8.30 malam. Manakala untuk hari Ahad iaitu 11 April, juga terdapat dua persembahan iaitu jam 3 petang dan 8.30 malam.
Bagi mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai teater ini atau penjualan tiket boleh menghubungi Koodinator Pemasaran di talian -013 6357002 Nurul Aini -013 2772196 Fadhilah Hayani -013 4194514 Natasha Azhar ataupun layari http://cendcendekiasemenda.blogspot.com